NASIONAL

RUU Food Bank dibentang hujung tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Food Bank bakal dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini, kata Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, penggubalan itu bertujuan membolehkan proses penggubalan akta bersesuaian dapat dibuat secara menyeluruh bagi melindungi penyumbang dan penerima Food Bank.

Katanya, pihaknya sedang mendraf RUU itu dengan mengambil contoh dan pengalaman dari beberapa negara luar yang sudah mewujudkan undang-undang Food Bank itu.

“Kelebihan apabila wujudnya RUU ini adalah penyumbang akan menjadi lebih yakin untuk meneruskan sumbangan ke dalam program ini.

“Malah, jumlah sumbangan pula sudah pasti akan meningkat dan banyak kelebihan akan kita peroleh sekiranya RUU itu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau optimis RUU itu akan dapat dibentangkan pada penghujung tahun ini namun tarikh belum dapat diumumkan kerana ia mancakupi beberapa perkara berkaitan sumbangan makanan.

Terdahulu, UM antara universiti keempat melancarkan program Food Bank selepas Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA kampus Permatang Pauh dan Universiti Putra Malaysia.

Program Food Bank Malaysia menjadi titik permulaan kepada usaha kerajaan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Program itu adalah satu inisiatif mengumpul makanan yang dihasilkan daripada peruncitan, perhotelan dan restoran, untuk diagihkan lebihan makanan untuk golongan kurang berkemampuan dan mahasiswa Universiti Awam.


Pengarang :