SELANGOR

SACC Walk Flea Market tarikan terbaharu Shah Alam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 APRIL: SACC Walk Flea Market mampu menjadi tarikan baru di Shah Alam ekoran keistimewaan yang terdapat di situ.

Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, flea market terletak di antara Kompleks PKNS dan SACC Mall itu berkonsepkan pasar karat yang menawarkan pelbagai barangan vintaj serta unik.

“SACC Walk Flea Market ini sudah bermula sejak 8 Februari lalu dan diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula dari 6 petang hingga lewat malam.

“Penganjuran PREC bersama asetnya SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam ini ternyata menjadi buah mulut dan kian tular di media sosial kerana ia bermanfaat untuk penduduk terutama di Shah Alam yang inginkan aktiviti santai dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program SACC Walk Fiesta Flea Market di perkarangan SACC Mall dan Wisma PKNS di sini, malam tadi.

Siti Zubaidah berkata, selain dipenuhi barangan vintaj, flea market itu turut menyediakan perniagaan kendera saji.

Pada masa sama, katanya, Selangor Agro Market turut diadakan pada setiap Jumaat sebagai salah satu penyeri SACC Walk Flea Market itu.

“Pasar yang menawarkan pelbagai barangan basah dan kering ini diadakan di perkarangan parkir Kompleks PKNS Shah Alam pada Jumaat sekali setiap bulan bermula dari 11 pagi hingga 5 petang,” katanya.


Pengarang :