NASIONAL

Saifuddin kepada Tok Mat: Perjelas bukan elak jawab isu banglo RM10 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 9 APR: Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan diminta untuk memberi penjelasan berkenaan apartment bernilai RM10 juta di London.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mohamad yang juga dikenali Tok Mat sepatutnya memberi penjelasan bukannya mengelak sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.

“Pada saya, Tok Mat (Mohamad) tidak perlu bersembunyi dan beritahu sahaja kebenarannya.

“Sekiranya saya sendiri dipersoalkan oleh beliau berkenaan perkara sama, sudah tentu saya akan menjelaskan yang benar. Jika beliau bertanyakan sama ada saya mempunyai rumah di London, saya akan terus memberitahu tiada sebaliknya cuma mempunyai rumah di Machang, Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Saifuddin turut mempertahankan calon Pakatan Harapan (Pakatan) PRK DUN Rantau, Dr S Streram yang meminta Mohamad menjelaskan sumber pendapatan sehingga membolehkan pembelian apartment bernilai RM10 juta di London dan banglo mewah di Seremban.

Saifuddin berkata, beliau yakin Dr Streram tidak menuduh sebaliknya hanya minta Mohamad menjelaskan dan tidak perlu melabelkan calon Pakatan itu sebagai seorang yang bodoh.

“Mohamad hanya perlu memberitahu kebenaran dan tidak perlu melenting atau melabelkan seseorang itu bodoh,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin juga yakin bahawa Pakatan mempunyai banyak peluang untuk menang pada PRK kali ini.

 


Pengarang :