NASIONAL

Saksi kongsi eksperimen corak mirip kecederaan Adib

SHAH ALAM, 17 APRIL: Corak yang terhasil pada patung model getah berikutan hentaman pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), mirip dengan kecederaan sagat dan lebam pada dada kanan Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, berkata dalam proses lakonan semula itu, patung model getah itu dipegang oleh seorang anggota bomba pada jenang pintu van EMRS sebelum pintu itu ditolak dengan sekuat hati.

Beliau berkata patung model (dummy) berwarna jingga digunakan dengan dicat fabrik hitam pada bahagian pintu van EMRS.

“Kita tolak sekuat hati objek ke pintu EMRS dan menghasilkan corak yang berpadanan.

“Kita (swing) hayun pintu dengan cepat kepada dummy dan dummy itu juga ditarik keluar. Lepas itu kita match (padankan) corak pada dada kanan mangsa,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah pada prosiding inkues di sini hari ini.

Saksi ke-29 berkata, untuk mendapat luka sempurna seperti dialami Muhammad Adib, seseorang itu perlu ditendang sekuat hati ke pintu van EMRS.

Dalam pada itu, Prof Dr Shahrom turut menolak andaian bahawa bahu jalan punca kepatahan pada rusuk kanan Muhammad Adib.

Katanya, berdasarkan kepada rekonstruksi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau melawat sendiri di tempat kejadian, tiada benda yang menonjol di sepanjang jalan berkenaan.

“Saya cari sepanjang-panjang bahu jalan kalau ada tombol di bahu jalan, jadi sepanjang-panjang jalan saya tengok tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada yang bersesuaian dengan tombol getah,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Pendengaran inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pagi Jumaat. -BERNAMA

 


Pengarang :