NASIONAL

Saksi rasa gegaran letupan di Pengerang

JOHOR BAHRU, 12 APRIL: Letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, pada awal pagi ini, dipercayai menyebabkan satu gegaran kuat di kawasan sekitar, menurut beberapa saksi.

Seorang daripadanya, Mohd Azizi Mahmun, 24, yang tinggal di Taman Ramunia Indah berdekatan kawasan kejadian berkata, dia merasakan pintu rumahnya seperti ditendang ketika kejadian itu berlaku.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur dan tersedar akibat satu gegaran kuat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

“Alarm (alat penggera) kereta juga semua berbunyi. Saya dan jiran kemudian keluar dan ternampak ada kepulan asap dan api di kawasan itu,” katanya yang penyelaras tapak bagi sebuah syarikat di kompleks berkenaan.

Mohd Azizi berkata, dia juga dapat menghidu bau gas akibat letupan berkenaan.

“Orang ramai boleh nampak kejadian kerana lokasinya dekat tepi jalan. Apatah lagi di kawasan Tanjung Pengelih, boleh nampak semua.

“Tetapi sekarang saya rasa keadaannya sudah terkawal kerana tiada arahan mana-mana pihak untuk kami (penduduk) berpindah. Saya pun nak ke tapak selepas ini untuk melihat keadaan,” katanya.

Seorang lagi saksi, Muslim Mustafa, 30, berkata dia turut merasai gegaran kuat kira-kira 1.30 pagi.

“Saya tengah tidur ketika terdengar satu bunyi letupan kuat berlaku. Bunyi itu menyebabkan pintu rumah saya bergegar dan semua jiran keluar melihat apa yang berlaku.

“Tidak lama selepas itu, saya nampak ada kereta ambulans dan bomba menuju ke kawasan kejadian,” katanya yang bekerja sebagai pengawal bahan di tapak projek terbabit.

Klip video dan gambar kejadian itu turut tular di Facebook dan Twitter.

Turut sama berkongsi klip video itu dalam laman berkenaan ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berikutan itu, ramai netizan mendoakan supaya kejadian terbabit tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa dan semua pekerja di lokasi kejadian dilaporkan selamat. -BERNAMA


Pengarang :