NASIONAL

Sarawak ajar Matematik, Sains dalam bahasa Inggeris

KUCHING, 24 APRIL: Sarawak menjadi negeri pertama akan melaksanakan pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bagi sekolah rendah di negeri itu, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, kerajaan negeri itu juga akan membantu Kementerian Pendidikan dari segi pelaksanaan serta melatih guru mengajar kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.

“Insiatif oleh kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa universiti di Sarawak akan memastikan guru mendapatkan latihan menyeluruh dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad.

Berkaitan dengan bayaran kontra RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak seperti dipersetujui sebelum ini, Maszlee berkata, pelaksaaan rancangan itu akan dibincangkan secara terperinci dengan ketua menteri itu.

Sementara itu, Manyin berkata kerajaan negeri mengendalikan kursus untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris melibatkan lebih 400 guru sekolah rendah pada tahun ini.

“Beberapa daripada guru itu akan menjadi tenaga pengajar kepada guru di peringkat daerah masing-masing dan kerajaan negeri sudah berbincang dengan universiti tempatan untuk melatih guru kita dengan inisiatif berkenaan dibiayai kerajaan negeri,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :