SELANGOR

Sasar pasar makanan halal ke Olimpik Tokyo 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Bangi Golf Resort (BGR), sebuah syarikat perhotelan dari Selangor menyasarkan untuk memasarkan produk makanan halal ke Olimpik Tokyo 2020.

Pengarah Eksekutifnya, Soh Chung Ky berkata, pihaknya berhasrat membekalkan produk makanan itu khusus buat pelancong dan atlet, pada acara sukan terbesar di dunia itu.

Katanya, bagi menjayakan misi berkenaan, pihaknya bekerjasama dengan Curetex Corporation di Jepun yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memasarkan produk ke negara matahari terbit itu.

“Produk makanan yang akan dipasarkan termasuk rendang daging, kari ayam, sate dan mi jawa.

“Paling unik apabila BGR akan turut menggabungkan rasa Malaysia dan Jepun untuk dirasai pelancong dan atlet. Kami akan menampilkan kelainan apabila sos rendang yang dieksport dari Malaysia akan digabungkan dengan daging Wagyu dari Jepun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Mengulas lanjut, Soh yang juga Pengarah Eksekutif Bangi Resort Hotel berkata, halal yang diperkatakan bukan sahaja daripada aspek keagamaan, namun ia turut menekankan aspek keselamatan apabila pemprosesan makanan menitikberatkan kebersihan.

“Oleh sebab itu, apabila BGR membekalkan makanan pada sukan Olimpik nanti, ia juga memastikan bahawa produk makanan itu menepati piawaian ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, BGR yang mula memperoleh sijil pengiktirafan halal JAKIM sejak 2010 turut bertanggungjawab mengeksport sos halal ke Jepun.

Katanya, makanan halal yang dipaketkan menggunakan sos berkenaan akan dipasarkan ke kafe, restoran dan hotel di seluruh Jepun melalui Curetex Corporation.

“Kita amat memahami kesukaran mencari makanan halal di sana, jadi saya yakin kerjasama yang dijalankan sejak setahun lalu mampu memudahkan umat Islam ketika berkunjung ke Jepun.

“Ia bukan sahaja memberi kesan positif kepada pelancongan di negara terbabit, tetapi turut mendatangkan impak positif kepada Malaysia terutama dalam memartabatkan pasaran halal ke negara luar,” katanya.

 


Pengarang :