SELANGOR

Sedia rumah harga kawalan, ikut kemampuan rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Menjadi satu keperluan kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan kediaman di bawah harga kawalan mengikut kemampuan rakyat, kata Haniza Talha.

Beliau yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar berkata, langkah itu diambil kerana tidak semua individu mampu membeli kediaman, pada harga tinggi.

“Ada segelintir rakyat mampu membeli kediaman pada harga RM250,000 dan ada juga yang mampu pada harga RM42,000.

“Oleh itu, kita akan cuba menyediakan perbezaaan harga mengikut kemampuan rakyat, sekali gus melihat maklum balas mereka terhadap projek yang sudah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian; Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Dato’ Rosli Othman.

Pada masa sama, Haniza berkata, sambutan terhadap rumah Idaman Abadi agak memuaskan dan Kerajaan Negeri akan mengkaji untuk memperluaskan lagi tawaran kediaman itu.

Rumah Idaman Abadi adalah perkongsian pintar antara kerajaan dan swasta menggunakan teknologi berinovasi tinggi serta kerjasama erat bersama institusi kewangan.

Ia menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Menariknya, setiap unit rumah Idaman itu dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Difahamkan, projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.


Pengarang :