NASIONAL

Sedia rumah kos rendah mencukupi, atasi isu setinggan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Kerajaan sedang berusaha menyediakan perumahan kos rendah yang mencukupi bagi mengatasi masalah setinggan di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha menangani masalah itu bagi memastikan isu setinggan dikurangkan atau diselesaikan sepenuhnya.

“Bukan dengan cara menghalau mereka tetapi lebih penting, kita cari penyelesaian kepada masalah perumahan bagi semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Anti Ragut serta Pelancaran Celik Suri Tahun 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur di Sentul Baulevard, di sini hari ini.

“Apabila tiada setinggan, maka tiada kawasan yang dari sudut kelengkapan dan susun aturnya tidak mengikut peraturan keselamatan.

“Jadi, kalau kita sediakan rumah kos rendah walaupun dikatakan kos rendah tapi dari segi reka bentuk, kemudahannya dan sebagainya memadai untuk menjamin keselamatan,” katanya.

Katanya, ia menjadi antara tanggungjawab kementerian itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini bagi mengurangkan masalah setinggan.

Sementara itu, merujuk kepada kempen hari ini, Khalid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan JBPM Kuala Lumpur dalam menganjurkan kempen-kempen kesedaran itu di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita akan menggalakkan di kawasan-kawasan PPR diperbanyakkan program seperti ini supaya bomba dapat mendampingi masyarakat dan masyarakat dapat menambah ilmu terhadap persoalan keselamatan, kita akan aturkan dan sediakan bajet untuk ia diadakan,” katanya.

Menurutnya, kempen itu juga bertujuan melatih suri rumah untuk menguruskan situasi ketika berlaku kebakaran antaranya cara untuk menggunakan alat pemadam api.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan kempen Celik Suri 2019 bagi mendekati golongan wanita terutama suri rumah bagi memberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan teknik dan cara menyelamatkan diri ketika berdepan kebakaran.

“Ia merupakan satu pendekatan bagi meningkatkan budaya keselamatan kebakaran dan amalan pencegahan kebakaran dalam kalangan suri rumah…perkataan SURI juga adalah akronim kepada Sedia Urus Risiko Isi rumah,” katanya.

Sehingga Mac lalu, JBPM Kuala Lumpur merekodkan 487 kes kebakaran di ibu negara. -BERNAMA


Pengarang :