BERITA UTAMANASIONAL

Sektor pelancongan negara kekal prestasi membanggakan

PUTRAJAYA, 23 APR: Sektor pelancongan negara terus mengekalkan momentum pencapaian mampan dan membanggakan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sektor pelancongan negara berada di landasan terbaik apabila Malaysia berjaya mengekalkan rekod sebagai antara 10 negara yang mempunyai destinasi perlancongan terbaik dunia bagi 2018.

Katanya, Kuala Lumpur serta Singapura, Macau, dan Shenzen berada dalam kalangan 10 teratas peringkat global.

“Rekod ini merupakan petunjuk bahawa Malaysia berada di landasan yang betul. Kita sedang berusaha keras mengukuhkan lagi industri pelancongan negara bagi mencapai sasaran kedatangan pelancong seramai 30 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion pada 2020.

“Usaha itu selaras dengan hasrat kementerian untuk melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PAKATAN mentadbir negara.

Pada 9 Mei ini, genap setahun PAKATAN membentuk kerajaan selepas menamatkan pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mohamaddin berkata, antara pencapaian lain kementerian itu termasuklah kejayaan seni dan warisan yang sinonim dengan negeri Melaka, Dondang Sayang yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

katanya, Pewartaan UNESCO ini sangat penting kerana ia bertujuan melindungi warisan kategori kebudayaan tidak ketara di seluruh dunia, sekali gus mengetengahkan identiti sesebuah negara.

Selain itu, kementerian menerusi Jabatan Warisan turut berjaya mengisytihar 255 butiran membabitkan pelbagai kategori sebagai Warisan Kebangsaan.

Katanya, 149 daripada jumlah butiran itu adalah hasil karya Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee termasuklah gubahan lagu serta dua trofi yang dimenanginya di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) iaitu Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk filem ‘Madu Tiga’ pada 1964 dan Anugerah Seniman Serba Boleh pada 1965.

“Pewartaan warisan itu mampu memberi impak positif yang melangkau pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat, selain dapat menjana ekonomi negara melalui produk pelancongan warisan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berpuas hati dengan pencapaian sektor itu dalam keadaan kerajaan sedang berjimat dan mengurangkan perbelanjaan negara.

“Kita kecilkan sedikit bajet dan skop (perbelanjaan) kita menjadi kecil sikit. Antara bajet yang dikecilkan adalah pengiklanan dan prasarana.

“Bagaimanapun, ia tak jejaskan promosi tahun melawat Malaysia. Saya berpuas hati dengan bajet ini, sebab sekarang pelancong banyak masuk (melancong ke Malaysia),” katanya.

Tambahnya kementerian juga sedang dalam proses mewartakan warisan geologi dan semulajadi Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang melibatkan sebanyak 210 lot tanah.

Selain itu, kementerian juga telah menghantar dokumen PKGS dalam Senarai Tentatif kepada UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :