SELANGOR

Selamatkan bumi: MBSA edar 100 beg kitar semula

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 1 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengedarkan 100 beg kitar semula secara percuma kepada pengunjung program 60+ Earth Hour peringkat Shah Alam, pada 30 Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pengedaran beg itu sebagai usaha pihaknya mengurangkan penggunaan beg plastik sekali gus mencapai Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2020.

Katanya, program itu diadakan sebagai simbolik sokongan terhadap usaha World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia bagi menyelamatkan bumi daripada pencemaran alam sekitar.

“Pelbagai aktiviti dijalankan, antaranya adalah Acara Berbasikal Kayuhan Malam, persembahan pentas oleh selebriti tanah air, Pameran Inisiatif Hijau, Chu-Chu Train, Food truck dan Beca Berhias.

“Pada program kayuhan, peserta berkayuh 11 kilometer(km) mengelilingi Shah Alam sebagai tanda sokongan kempen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, penganjuran program terbabit adalah bukti komitmen berterusan MBSA dalam mendidik masyarakat bersikap tanggungjawab memelihara kesimbangan alam sekitar.

Program di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 itu dirasmikan Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan.


Pengarang :