Selangorkini
SELANGOR

Selangor bakal perkenal ‘signature’ produk asas tani

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APRIL: Selangor sedang melengkapkan pelan bagi mewujudkan ‘signature’ produk untuk menjadikan negeri itu sebagai hab produk industri asas tani, di Malaysia.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, beberapa produk sudah dikenalpasti dan mencapai standard dikehendaki pihaknya.

Katanya, melalui pelan itu juga, Kerajaan Negeri merancang untuk mengeluarkan logo Selangor yang membolehkan produk berkenaan dieksport ke luar negara.

“Selangor adalah negeri emas yang mempunyai infrastruktur lengkap antaranya lebuh raya, Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa.

“Oleh itu, peluang yang tersedia ini perlu digunakan sebaiknya, selain meningkatkan eksport dengan kecekapan logistik yang lebih efisien, agropreneur juga mendapatkan lebih pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Galakan Pasaran Tempatan dan Antarabangsa Agropreneur Selangor 2019, di Wisma PKPS, di sini.

Izham berkata, produk yang dikenal pasti itu perlu mempunyai penggredan, pelabelan, pembungkusan dan sijil halal yang diperakui.

“Kita juga boleh membantu rantaian produk ini dilengkapkan, apa yang penting ia mesti diusahakan di negeri ini walaupun produk berkenaan dari negeri lain.

“Buat masa ini, saya mencadangkan logo itu dinamakan sebagai Selangor Premier, bagaimanapun kita menunggu untuk diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Usaha ini akan dilakukan dengan kerjasama EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pelan berkenaan dijangka akan mula diusahakan hujung tahun ini.

Selain itu, Izham berkata, Kerajaan Negeri turut menekankan produk hiliran seperti roselle boleh diproses menjadi halwa, minuman kordial dan jem yang memiliki pasaran sedia ada di Australia, Jepun serta Singapura.

“Selepas ini kita mementingkan tanaman yang boleh dipasarkan. Jika dahulu, kita tanam dahulu kemudian baru fikir untuk memasarkannya, namun ia tidak lagi boleh diguna pakai ketika ini,” katanya.


Pengarang :