SELANGOR

‘Selangor Bebas Aedes Tempat Kerja & Kuarters’ kawal wabak denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Bagi mengawal penularan wabak denggi di Selangor, Kerajaan Negeri melaksanakan program ‘Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters’.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program itu bagi memastikan pekerja mempunyai persekitaran selamat, manakala majikan mendapat pekerja yang sihat dengan peningkatan produktiviti serta kualiti kerja.

“Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja serta orang awam yang berkunjung bagi mendapatkan perkhidmatan.

“Majikan juga bertanggungjawab sebagai pihak yang perlu mengambil risiko dan mengendalikan pekerjanya serta menyediakan tempat kerja selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Taklimat Pelaksanaan Selangor Bebas Aedes (Tempat Kerja dan Kuarters) Jabatan dan Agensi, di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini.

Katanya, program yang membabitkan semua agensi kerajaan itu turut menggalakkan pelaksanaan aktiviti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) secara kendiri dan berkala serta tidak meletakkan tanggungjawab menjaga kawasan di atas bahu ketua jabatan sahaja.

Siti Mariah berkata, langkah itu mampu membudayakan warga kerja prihatin dan bekerjasama dalam memastikan kawasan tempat kerja serta kuarters bebas daripada pembiakan Aedes.

“Saya juga mahu mencadangkan supaya setiap agensi menganjurkan program “Denggi Hour” di tempat kerja masing-masing dengan mengambil masa kurang satu jam setiap minggu untuk membersihkan persekitaran pejabat.

“Saya optimis setiap jabatan dan agensi dapat memainkan peranan dalam kawasan penyeliaan masing-masing, bagi memastikan tempat kerja dan kuarters tidak menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Sehingga minggu epid ke-14 tahun ini, bilangan kes denggi terkumpul di Selangor adalah 22,343 kes, meningkat 168 peratus berbanding minggu yang sama, tahun lalu.

Manakala, sebanyak 18 jumlah kematian direkodkan yang menyumbang kepada 56.78 peratus daripada keseluruhan kes demam denggi, di Malaysia.

Berdasarkan rekod data tahun lalu oleh Jabatan Kesihatan Selangor, tempat utama positif pembiakan Aedes mengikut jenis premis adalah rumah ibadah (42.9 peratus), tapak binaan (47.2%), pejabat kerajaan (18.8%), kilang (17.4%), kemudahan kesihatan (12.4%) dan sekolah (12.1%).

Daripada data itu, premis pejabat kerajaan berada pada kedudukan ketiga tertinggi dalam senarai tempat utama positif pembiakan.


Pengarang :