BERITA UTAMASELANGOR

Selangor ketengah buku audio di PBAKL2019

KUALA LUMPUR, 5 APR: Inginkan komposer tersohor, Datuk M. Nasir membacakan buku ‘Sulalatus Salatin’ karya Tun Sri Lanang sambil anda berbaring di atas katil ataupun sedang memandu?

Semestinya boleh, tetapi anda perlu memuat turun aplikasi Nusantara Audiobooks di telefon pintar untuk mendengar suara penyanyi terkenal itu membacakan buku klasik kesusasteraan Melayu itu untuk anda secara percuma.

Nusantara Audiobooks ialah sebuah platform yang menawarkan buku audio daripada karya-karya klasik seperti ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’, ‘Salina’ dan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, dan merupakan program di bawah Agenda Pencerahan Selangor.

Pengurus program Nusantara Audiobook, Arif Farhan Faizal Amir berkata, tujuan diadakan buku audio ini adalah bagi memberi akses kepada orang ramai untuk menimba ilmu, mempromosikan kesusasteraan Melayu klasik dan memperkenalkan cara baharu bagi mereka yang tiada masa untuk membaca.

Beliau berkata, buku audio itu turut mengetengahkan buku-buku sejarah, sastera, politik serta fiksyen yang dibacakan oleh para selebriti termasuk Adibah Noor, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, Tan Sri Koo Kay Kim dan Wan Hanafi Su dalam pelbagai bahasa.

“Audiobook ini masih dalam peringkat pengenalan kepada orang awam, dan untuk itu, diberikan percuma buat pengunjung yang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pesta itu di sini semalam.

Program buku audio itu adalah inisiatif kerajaan Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor yang dilancarkan tahun lepas serta merupakan antara produk yang diketengahkan pada PBAKL yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sejak Jumaat lepas dan akan berakhir Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2019 Abd Wahab Ibrahim menyifatkan usaha kerajaan Selangor dan perpustakaan negeri itu sesuatu yang baik dalam menggalakkan rakyat membaca, walaupun dalam bentuk audio.

“Tahun ini Selangor adalah Negeri Tamu untuk PBAKL 2019 dan telah mengangkat perpustakaan awam negerinya sebagai lambang ketamadunan negeri tersebut dengan produk-produk terbaharu seiring dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Abd Wahab berkata sebagai Negeri Tamu, Selangor telah diberi peluang mengetengahkan khazanah negeri, mempromosikan tempat pelancongan dan mempromosikan bahan terbitan negeri tersebut di pesta buku berkenaan.

“Perpustakaan Selangor ini bagus, dan ada banyak aktiviti penerbitan buku yang dipeloporinya. Salah satunya Nusantara Audiobooks, iaitu buku-buku hebat yang dibacakan oleh selebriti seperti Datuk M. Nasir,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :