SELANGOR

Selangor Maritime Gateway buka peluang pelancongan Pulau Indah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 12 APRIL: Pulau Indah bakal menjadi lokasi tarikan pelancong paling unik di dunia jika projek ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG) berjaya dilaksanakan, kata mantan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd, Dato’ Mahmud Abbas.

Beliau berkata, selain menjadi tumpuan pemain sektor industri besar dari dalam dan luar negara, Pulau Indah juga kaya dengan alam semula jadi seperti pokok bakau serta sungai yang bakal menambat hati pelancong untuk meneroka keunikan Selangor, dari sudut berbeza.

Justeru, kerja pembersihan sungai melalui SMG yang turut membabitkan lokasi Pulau Indah, Pulau Mat Zin dan Pulau Carey bakal membuka potensi pelancongan alam semula jadi kepada penduduk tempatan mahupun luar negara.

“Sebenarnya pelancong sudah bosan melihat bangunan tinggi, pusat beli-belah atau barangan berjenama, mereka sebaliknya datang ke tempat kita kerana hendak melihat kekayaan semula jadi dan ia juga terdapat di Pulau Indah.

“Oleh kerana projek SMG sedang berjalan, saya juga dapati sudah ada pemandu pelancong yang membawa pelancong ke sana untuk menaiki bot dan sebagainya, ini adalah perkembangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum Perniagaan Selangor Synergies Siri ketujuh: Selangor Maritime Gateway anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, di Hotel Dorsett Grand Subang, semalam.

Forum itu membabitkan pemegang taruh, kerajaan dan industri swasta membincangkan inisiatif menghidupkan kembali Sungai Klang dan kawasan sekitarnya menerusi projek SMG.

Mahmud yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Knowledge Economic City Madinah berkata, terdapat pelancong khususnya dari luar negara hairan apabila Pulau Indah mempunyai kampung yang kaya dengan alam semula jadi.

“Lebih menarik apabila pelancongan di kawasan ini tidak membelanjakan kos yang tinggi kerana mereka juga boleh berkhemah di situ.

“Oleh itu, saya yakin melalui projek SMG ini, Pulau Indah akan diteroka lebih baik dan ia dijangka menyemarakkan ekonomi negeri pada jangka masa panjang,” katanya.

 


Pengarang :