BERITA UTAMASELANGOR

Selangor Maritime Gateway terima anugerah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 APRIL: Salah satu daripada projek perintis Selangor Maritime Gateway (SMG) Fasa 1, iaitu ‘Mangrove Point’ dinobatkan sebagai pemenang anugerah ‘Landscape Analysis and Study Awards’ menerusi kategori profesional ILAM MLAA Honour Award.

Anugerah itu disampaikan kepada Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan Clouston Design Studio (M) Sdn Bhd (CDS), selaku perunding projek, pada Malam Gala Malaysia Landscape Architecture Awards MLAA11, New World Hotel, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, pertandingan itu adalah salah satu dari sembilan kategori yang dipertandingkan dan diadakan pada setiap tahun oleh Institute of Landscape Architect Malaysia (ILAM).

“Projek Mangrove Point yang terletak di kawasan 14 Sungai Klang ini menampilkan idea menggunakan persekitaran alam semula jadi untuk mendorong aktiviti meditasi serta membantu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan melalui pendekatan Biophilic.

“Ia membolehkan interaksi di antara manusia dan alam semula jadi melalui rekreasi pasif berdasarkan karekter ruang yang menggunakan ‘The Eight Perceived Sensory Dimension’ atau PSD.

“Oleh itu, reka bentuk ini dibangunkan bagi mencapai beberapa manfaat kepada pengguna ke arah mengembalikan kesihatan ekologi dengan menikmati Thermal Comfort, prospek dan perlindungan, mendekatkan diri kepada alam semula jadi dan melepaskan diri daripada tekanan dunia luar,” katanya kepada SelangorKini.

Syaiful Azmen berkata, projek dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) itu juga merupakan taman rekreasi paya bakau pertama menggunakan pendekatan Biophilic yang dibangunkan untuk menggalakkan aktiviti luar dan terapi alam bagi golongan istimewa.

“Ia juga diharap akan menjadi sebuah destinasi eko-pelancongan dan kawasan rekreasi awam yang mampu memberikan manfaat kepada penduduk tempatan di Klang, Malaysia dan seterusnya antarabangsa.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada pihak yang terbabit dalam usaha ini. Ia sebagai suntikan untuk kita terus merealisasikan hasrat membangunkan Smart State menjelang 2035,” katanya.

LLSB adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor yang dilantik Kerajaan Negeri sebagai pelaksana projek SMG.

SMG secara keseluruhannya adalah usaha pemuliharaan Sungai Klang bagi menyemarakkan ekonomi negeri pada jangka masa panjang.

Projek itu meliputi keluasan kawasan kira-kira 55,612 hektar sepanjang pesisir Sungai Klang.


Pengarang :