BERITA UTAMASELANGOR

Selangor model penting pembentukan kerajaan baharu

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APRIL: Selangor dijadikan salah satu model penting ketika pembentukan kerajaan baharu selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu ekoran pelbagai kejayaan diraih Kerajaan Negeri terutama menerapkan konsep kebertanggungjawaban dan integriti dalam pentadbirannya.

“Cita-cita Kerajaan Negeri sejak 2008 berjaya menerapkan beberapa ciri penting pentadbiran khususnya dalam mengangkat integriti dan kebertanggungjawaban sebagai elemen penting.

“Pentadbiran dan pengurusan profesional yang memisahkan serta mengagihkan kekuatan kita ke arah menentuķan arah juga visi pentadbiran.

“Penjawat awam seterusnya melaksanakan arahan serta mendukung dasar Kerajaan Negeri dengan urus tadbir baik sehingga Selangor dilihat sebagai salah satu model penting dalam pembentukan Kerajaan baharu pada 9 Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan Dato’ Menteri Besar bersama penjawat awam daerah Kuala Langat di Dewan Sri Jugra, Telok Datok di sini, hari ini.

Amirudin berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila banyak pencapaian diraih Selangor di bawah Kerajaan PAKATAN, berbanding negeri lain di bawah BN.

Antara pencapaian penting termasuk kejayaan Selangor mencatatkan pelaburan industri pembuatan tertinggi berjumlah RM18.9 bilion, pada 2018 berbanding RM5.59 bilion, pada 2017.

Selain itu, 10 Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor turut meraih penarafan lima bintang daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada 2017 sebelum meningkat kepada 12 PBT, pada 2018.

“Pelbagai kejayaan dicapai menunjukkan kita di hadapan bukan sahaja daripada sudut pembangunan dan ekonomi tetapi program sosial serta siasah kemasyarakatan,” katanya.


Pengarang :