SELANGOR

Selangor negeri pertama anjur Muhadharah Murabbi Ummah

OLEH NADIAH ZAMLUS

CYBERJAYA, 10 APR : Selangor sekali lagi mendahului negeri lain apabila berjaya menganjurkan Program Muhadharah Murabbi Ummah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penganjuran itu selari dengan matlamat Kerajaan Negeri yang sentiasa komited mendekati para murabbi ummah.

Katanya, Kerajaan Persekutuan dan negeri sentiasa mengiktiraf dan menghargai peranan murabbi dalam membimbing dan membentuk sikap murni masyarakat, sekali gus menjadi penyumbang kepada keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama.

“Peranan dan tanggungjawab para murabbi seperti imam dan ahli jawatankuasa masjid adalah penting bagi menyebarkan syariat Islam yang syumul serta menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.

“Peranan mereka juga sangat diperlukan kerana ajaran Islam merupakan perkara penting bagi membangunkan modal insan cemerlang dan berkualiti,” katanya dalam ucapan perasmian Mudhaharah Murabbi Ummah peringkat Selangor di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini , semalam.

Teks ucapan beliau pada majlis yang dihadiri lebih 500 hadirin termasuk imam dan guru agama itu dibacakan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Amirudin berkata, selain tanggungjawab mendidik ummah berteraskan panduan Al-Quran dan hadith, para murabbi berperanan untuk mengajak masyarakat menghayati nilai-nilai murni yang diajar Islam.

Katanya, penghayatan nilai murni yang tinggi dalam masyarakat dapat membantu ke arah pembentukan disiplin diri yang baik kepada individu.

“Matlamat utamanya adalah untuk membentuk personaliti muslim dari segi rohani, jasmani, intelek dan emosi serta melahirkan insan kamil dan mukmin yang bertakwa kepada ALLAH SWT,” katanya.


Pengarang :