BERITA UTAMASELANGOR

Selangor pertama bina rumah mampu milik atas tanah RAC

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 11 APRIL: Selangor menjadi negeri pertama yang akan membangunkan rumah mampu milik di atas tanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha itu membolehkan potensi tanah RAC seluas 3,600 ekar di Bangi dan Pelabuhan Klang dapat dibangunkan.

“Kita berbangga kerana menjadi negeri pertama bagi projek ini dan saya yakin matlamat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan 30,000 rumah mampu milik seperti yang diumumkan melalui Belanjawan Selangor 2019 akan tercapai.

“Saya juga yakin usahasama ini akan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk Selangor daripada segi kemudahan pengangkutan dan pemilikan rumah memandangkan ia memfokuskan pembinaan di lokasi berhampiran stesen komuter dan transit aliran ringan (LRT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Persefahaman (MoU) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dengan RAC, hari ini.

MoU itu menyaksikan Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan membangunkan aset kereta api secara strategik, termasuk kediaman mampu milik dan pelaksanaan inisiatif Smart Selangor dalam kawasan hab transit.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus RAC, Azhar Ahmad.

Sementara itu, Loke berkata, pelaksanaan bagi merealisasikan pembinaan rumah mampu milik berkenaan akan dijalankan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Buat masa ini, kita akan buat kajian terhadap tanah RAC ini dan kementerian akan membuat pengumuman melalui sidang media untuk membolehkan umum mengetahui perkembangan selanjutnya.

“Lebih penting apabila melalui MoU ini, saya gembira melihat kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk manfaat rakyat, yang sebelum ini tidak dapat dibuat kerana perbezaan parti politik yang memerintah,” katanya.

Majlis MoU itu diadakan bersempena penganjuran MBI Selangor Synergies siri 7 yang membincangkan ‘Selangor Maritime Gateway’ bertempat di Hotel Dorsett Grand Subang.

Terdahulu, RAC merancang untuk membangunkan projek perumahan mampu milik di sebahagian 3,237.5 hektar tanah kereta api miliknya di seluruh negara.


Pengarang :