BERITA UTAMASELANGOR

Selangor ‘role model’ industri asas tani

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yakin Selangor menjadi ‘role model’ kepada negeri lain menerusi pelan pembangunan industri asas tani (IAT) yang dirangka Kerajaan Negeri.

Pengerusinya, Sr Ishak Ismail berkata, kriteria agropreneur mengikut tier yang diperkenal turut menjadi agenda Kementerian dalam memastikan sistem itu menjadi asas industri lebih sistematik dan strategik.

Katanya, pendekatan ‘product screening’ dan bimbingan menerusi prosedur operasi standard (SOP) mampu meningkatkan tahap serta kualiti produk sehingga melepasi tahap peringkat antarabangsa.

“Selangor sentiasa ke hadapan, justeru saya yakin dan percaya Selangor boleh menjadi contoh kepada negeri lain dan dikenali di seluruh negara menerusi industri ini,” katanya pada Seminar Galakan Pasaran Tempatan dan Antarabangsa Agropreneur Selangor 2019, di Wisma PKPS, di sini.

Ishak berkata, sepanjang Mei 2016 hingga kini, FAMA Selangor mengenalpasti 475 agropreneur dengan bilangan Unit Penyimpanan Stok (SKU) sebanyak 850.

Katanya, melalui jumlah itu, seramai 57 agropreneur dengan bilangan 279 SKU memasuki pasaran antarabangsa Singapura dengan nilai jualan RM1.6 juta.

“Tahun ini, Kerajaan Negeri menjangkakan nilai jualan sekitar RM1 juta dengan penyertaan 40 agropreneur dan lebih 100 SKU sepanjang tempoh empat hari berlangsung.

“Kita juga sudah membantu penyertaan 18 agropreneur dengan 72 SKU di Malaysia Fest, Singapura pada Ogos lalu dan mencatatkan nilai jualan RM450,000, manakala kos perbelanjaan pula sebanyak RM152,000.

“Ia bermaksud setiap RM1 nilai dibelanjakan memberi pulangan kepada ekonomi sebanyak RM3,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, menerusi program Selangor Agro Market (SAM) 2019, sebanyak 131 lokasi yang berkonsep jualan terus dari ladang dan jualan terus dari kilang ditetapkan.

“Disebabkan sambutan yang amat menggalakan, sebanyak 87 lokasi tambahan dikenalpasti sekali gus, menjadikan jangkaan lokasi SAM sebanyak 218 lokasi sehingga hujung tahun ini.

“Baru-baru ini, SAM di Mardi Jalan Kebun pada Sabtu dan Ahad lalu mencatatkan nilai jualan RM 155,000 termasui barangan segar dan produk IAT,” katanya.


Pengarang :