KUALA LUMPUR, 16 April — Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Selangor Datuk Abdul Rashid Asari (belakang sembilan, kanan) bergambar bersama para peserta selepas perasmian Jelajah Media ‘Eat Travel Write Selangor International Culinary Adventure 2019’ di Taraa Pong malam tadi. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sasar 9 juta pelancong tahun ini

HULU LANGAT, 16 APRIL: Sektor pelancongan di Selangor dijangka menjana pendapatan lebih RM10 bilion pada tahun ini, dengan sasaran kedatangan kira-kira sembilan juta pelancong.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, jumlah itu meningkat apabila sektor pelancongan Selangor menjana RM8.9 bilion dengan kehadiran 7.5 juta pelancong dicatat, pada 2018.

“Kita begitu giat mengadakan program pelancongan dan lawatan ke luar negara untuk mempromosi Selangor sebagai negeri yang harus dilawati.

“Selangor mempunyai keunikan dengan pelbagai makanan dan produk pelancongan serta diiktiraf Majlis Pelancongan Malaysia sebagai destinasi pilihan pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita semalam.

Abdul Rashid yakin jumlah sasaran pelancong ke Selangor pada tahun ini, dapat dicapai susulan negeri berkenaan mempunyai pelbagai destinasi pelancongan unik seperti Sky Mirror di Kuala Selangor dan aktiviti paragliding di Bukit Jugra.

Terdahulu, Abdul Rashid merasmikan jelajah media ‘Eat Travel Write-Selangor International Culinary Adventure 2019’ di Hulu Langat yang bermula pada 15 April dan berakhir pada 18 April.

Pada program itu, 31 peserta terdiri daripada media tempatan dan antarabangsa akan menikmati pengalaman dalam penyediaan keunikan juadah daripada etnik Minang dan Kerinchi di sekitar daerah Hulu Langat. -BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April — Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Selangor Datuk Abdul Rashid Asari (dua, kiri) merasmikan Jelajah Media ‘Eat Travel Write Selangor International Culinary Adventure 2019’ di Taraa Pong malam tadi.
Turut serta Yang Di Pertua Majlis Kebudayaan Negeri Selangor Tengku Shamsul Bahri Tengku Azman Shah (dua, kanan), Penolong Pengarah Sub Sekyen Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Selangor Ahmad Nazmi Razali (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Gaya Travel Magazine Nuar Md Diah (kiri).
–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengarang :