SELANGOR

Selangor sasar tiada kilang plastik haram menjelang Jun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan tiada lagi kilang plastik haram menjelang Jun ini, kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Beliau berkata, tindakan serius sudah diambil sehingga 48 kilang haram ditutup dan diarah menjalankan kerja pembersihan serta pengosongan tapak.

Sementara katanya, 107 kilang plastik haram sudah dikenal pasti di enam lokasi pihak berkuasa tempatan.

“Daripada jumlah itu, 99 kilang diberi notis penutupan termasuk di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Shah Alam, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Kerajaan Negeri akan mengenakan sitaan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pada pertengahan tahun ini semua kilang haram ditutup sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pemilik tanah atau pengusaha boleh didakwa mengikut Kanun Tanah Negara atas kesalahan guna tanah dan rampasan tanah akan dibuat.

Sze Han berkata, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk memotong bekalan air dan elektrik bagi kesemua pemilik kilang haram.

“Isu plastik adalah masalah global semenjak China melarang pengimportan sisa plastik dan disebabkan itu terdapat sisa plastik diimport ke Malaysia termasuk dari Amerika Syarikat, England, New Zealand, German, Australia dan lain-lain.

“Saya ingin menegaskan kepada kesemua negara ini, sila ambil balik sampah anda. Mesej dari Kerajaan Negeri sangat jelas, kita tidak benarkan kilang proses sisa plastik tanpa lesen untuk meneruskan operasi di negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Sze Han turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat jika terdapat perkara mencurigakan kepada Jabatan Alam Sekitar di talian 1-800-88-2727.


Pengarang :