SUKANKINI

Selangor-Sharp Electronics kerjasama tingkat mutu sukan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia menjalin kerjasama erat dengan Sharp Electronics Malaysia Sdn Bhd dalam pelbagai bentuk program pada masa hadapan, sejajar usaha membangun dan meningkatkan mutu sukan, di Selangor.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya menyambut baik komitmen syarikat swasta terbabit melalui penganjuran Sharp I Love Shah Alam Fun Run yang bakal berlangsung pada 21 April ini.

Katanya, penganjuran berkenaan jelas membuktikan sokongan penuh dipamerkan syarikat itu dalam usaha membawa aspirasi Smart Selangor yang diperkenal Kerajaan Negeri.

“Saya merasakan Sharp Electronics mengikuti arus kemajuan selari dengan situasi semasa yang mana acara larian dianjurkan ini antara program yang menjadi pilihan ramai.

“Malah, saya berharap mereka dapat menganjurkan program seperti ini pasa masa akan datang terutama melibatkan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar SHARP I Love Shah Alam Fun Run 2019, di Lobi Bangunan A Sharp Electronics Malaysia, Seksyen 27, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Urusan Sharp Electronics Malaysia, Ting Yang Chung dan barisan pengurusan serta kakitangan syarikat berkenaan.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, Sharp Electronics turut menjadi salah sebuah syarikat swasta yang menyumbang ke arah perkembangan pesat ekonomi, di Selangor.

“Ini merupakan salah satu contoh sokongan sektor swasta terhadap inisiatif Kerajaan Negeri seperti Smart Selangor kerana kita berhasrat untuk menjadi negeri pintar, ekonomi, dinamik, dan kaya dengan budaya, perkhidmatan dan sistem.

“Kita juga mahu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri utama di ASEAN menjelang 2025,” katanya.

Sharp adalah sebuah syarikat multinasional Jepun yang menghasilkan produk elektronik dan memiliki beribu pejabat di Sakai-ku, Sakai.

Diasaskan pada September 1912 di Tokyo, Sharp menempa nama daripada salah satu rekaan pertama pengasasnya, pensil mekanikal Sharp pertama yang dicipta Tokuji Hayakawa, pada 1915.

Kini, Sharp bertapak di Malaysia hampir 35 tahun manakala 21 tahun di Shah Alam.


Pengarang :