SELANGOR

Selangor umum RM60 juta atasi kesesakan Bandar Saujana Putra

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 12 APR: Penduduk Bandar Saujana Putra kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengumumkan berita gembira dengan membina jejambat baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di situ.

Pembinaan yang menelan belanja kira-kira RM60 juta itu dijangka akan menghilangkan keresahan penduduk yang sejak sekian lama berdepan dengan kesesakan lalu lintas, beberapa tahun kebelakangan ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek itu bakal memberi manfaat buat kira-kira 65,000 penduduk di situ serta pengguna Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), dari arah Bandar Saujana Putra.

“Kerajaan Negeri sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); Majlis Daerah Kuala Langat; Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB); Lembaga Lebuhraya Malaysia; ELITE; SKVE dan pemaju bagi mengatasi permasalahan ini.

“Akhirnya, pemaju Seribu Baiduri Sdn Bhd telah memberikan komitmen bagi menyegerakan proses tender dan melaksanakan pembinaan jejambat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Surau Al-Ikhlas bagi meninjau masalah kesesakan lalu lintas di Bulatan Bandar Saujana Putra bersempena Program Jelajah Maju Bersama ke Daerah Kuala Langat, di sini, petang tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Dato’ Sri Ahmad Omar; EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari dan Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kejayaan bagi mempercepatkan pembinaan itu juga ekoran daripada desakan ahli majlis dan juga Ahli Dewan Negeri yang seringkali membangkitkan isu terbabit ketika sidang Dewan Negeri Selangor.

“Kini penduduk tidak perlu bimbang kerana proses tender sedang berjalan dan kerja tapak dijangka bermula pada Julai depan serta siap pada Jun 2021.

“Ketika pembinaan dijalankan, sudah tentu akan ada penutupan jalan dan sebagainya namun ia akan diumumkan dari masa ke semasa,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 


Pengarang :