SELANGOR

Selaras data wadah perkasa perundangan syariah

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyifatkan Mesyuarat Penyelarasan Jabatan Pendakwaan Syariah Seluruh Malaysia dalam penyediaan data dan statistik adalah wadah penting ke arah pemerkasaan institusi perundangan syariah.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, program anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) itu memberi fokus kepada penyelarasan data dan statistik berhubung jenayah syarie di seluruh Malaysia.

Katanya, usaha itu penting kerana sesuatu dasar negara dibuat berpandukan input data dan statistik yang benar, tepat dan telus.

“Program ini sebuah landasan tepat dan relevan bagi membincangkan pelbagai isu pengurusan serta pengukuhan pendakwaan syariah dalam usaha memperkasakan sistem pengurusan data dan statistik.

“Dengan pelarasan dan penyeragaman ini juga, sesuatu aspirasi jabatan pendakwaan dapat dicapai dengan berkesan. Malah, diharap ia dapat menjalinkan kerjasama serta perkongsian pengalaman dalam mengendalikan pengurusan perjabatan, data dan statistik kes antara negeri.

“Semoga jalinan erat antara jabatan dan bahagian pendakwaan seluruh negeri dapat menghasilkan suatu natijah yang baik khususnya bagi menjaga kemaslahatan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian penutup mesyuarat itu di Hotel Grand BlueWave, di sini hari ini.

Program selama tiga hari dua malam itu dihadiri wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ketua Pendakwa Syarie dari seluruh Malaysia serta wakil mereka.

JPSS turut melancarkan laman sesawang rasmi di akhir majlis itu yang mengandungi segala maklumat berkaitan jabatannya.


Pengarang :