SELANGOR

SELCAT bincang isu projek Taman Air Manis 7 Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan bersidang pada 7 Mei ini bagi membincangkan isu projek perumahan Taman Air Manis, Sabak Bernam.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, sesi pendengaran awam itu akan dibuka kepada orang ramai dan media yang akan diadakan di Bilik Gerakan di Dewan Annex, SUK.

Katanya, isu berkenaan dilontarkan Ahli Dewan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman dan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail dalam sidang dewan negeri lalu.

“Pembangunan jenis bersepadu berkeluasan 10 hektar ini mempunyai nilai komersial dan Rumah SelangorKu yang dirancang sejak 2011, namun hingga hari ini pembangunan yang dijanjikan itu tidak sepenuhnya siap.

“Oleh itu, SELCAT dan semua pihak mahu mengetahui apakah masalah dihadapi pemaju Permodalan Negeri Selangor Berhad kerana sejumlah RM30 juta sudah dibelanjakan,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyelidik Efektif di Dewan Annex, di sini.

Suee Lim berkata, jawatankuasa itu akan membuat rumusan dan menyiapkan laporan teliti sebelum diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Kita juga akan memanggil beberapa saksi dalam isu ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, fungsi SELCAT dan bidang kuasanya berbeza dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kita lebih lihat daripada segi pentadbiran untuk menentukan kebertanggungjawaban dan ketelusan. Jika ada pihak yang melakukan kesalahan jenayah, mereka perlu disiasat berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.


Pengarang :