GLOBAL

Serantau Muslim seru kembali hak Palestin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 APR : Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyeru pihak berkuasa kembalikan hak rakyat Palestin.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Ahmad Yaakob berkata, pihaknya berasa sedih dan simpati terhadap nasib rakyat Palestin yang terkorban dan cedera dalam sambutan ulangtahun ‘The Great Return March (GRM)’ yang diadakan sepanjang sempadan Gaza dan tanah jajahan Israel sejak setahun lalu.

Katanya, siri perhimpunan yang berlangsung di Semenanjung Gaza itu bertujuan memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap isu Palestin yang semakin suram.

“Mereka ditembak tentera Zionis dengan alasan demonstrasi itu bertujuan menjadi ‘penghasut utama’ yang menggalakkan penduduk mendekati pagar pemisah antara Gaza dan tanah yang dijajah puak mereka.

“Oleh itu, Serantau Muslim mengecam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan dunia Arab kerana masih senyap membisu meskipun ramai umat Islam di Palestin terkorban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Serantau Muslim mengutuk tindakan Amerika Syarikat dan Presiden Donald Trump yang terus buta terhadap kekejaman Israel.

“Justeru, kita optimis OIC dapat memainkan peranan dan Mesir dapat membuka kembali pintu Rafah supaya rakyat Palestin mendapat keperluan asas mencukupi pihak tertentu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan jumlah mangsa terkorban dalam perarakan GRM setakat 29 mac lalu seramai 266 orang, dan 30,398 cedera dengan kecederaan berbeza.

Untuk sebarang sumbangan, layari untukmuPalestin.com atau terus ke akaun Maybank yang bernombor 5641 0042 3082 (Tabung Kemanusiaan Palestin Serantau Muslim).

 


Pengarang :