Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
NASIONAL

Shafee gagal dapat surat lantikan, singkir lantikan Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR, 22 APR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam dua permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan serta menyingkirkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan dari peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bagi pihak pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Collin berkata, permohonan untuk mendapatkan surat lantikan ditolak kerana mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan pendakwaan supaya surat lantikan Datuk Sulaiman Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd (SRC), tidak diberi kepada pasukan pembelaan.

Najib memohon supaya surat lantikan Sulaiman sebagai ketua pasukan pendakwaan dikemukakan terhadap pasukan pembelaan namun permohonan itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi, bagaimanapun rayuannya ke Mahkamah Rayuan dibenarkan dan Mahkamah Persekutuan pula menukar keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Bagi permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan pula, Collin berkata beliau mengikut keputusannya sendiri yang menolak permohonan Najib untuk menyingkirkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 13 September tahun lepas, Muhammad Shafee telah dituduh di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kes melibatkan Muhammad Shafee kemudiannya dipindah ke Mahkamah Tinggi untuk dibicara.

Bagaimanapun, pihak peguam telah memohon supaya surat pelantikan Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan dikemukakan kepada pasukan pembelaan serta memohon untuk menyingkirkan Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapi Muhammad Shafee.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :