KOTA KINABALU, 16 April — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) ketika menerima kunjungan daripada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar di Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah semalam. — fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Shafie harap Malaysia keluar daripada senarai ‘K’

KOTA KINABALU, 16 APRIL: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’, iaitu berpotensi untuk penculikan di pantai timur negeri ini.

Beliau berkata, Sabah selamat untuk dikunjungi dan pelancong dari China serta Eropah masih ramai ke negeri itu, termasuk Semporna juga Pulau Sipadan.

“Saya berharap permintaan Kementerian Luar untuk mengeluarkan Malaysia (daripada senarai itu akan diberikan perhatian) dan kawasan itu selamat untuk dikunjungi.

“Keadaan adalah terkawal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Insiden (penculikan) berlaku sebelum ini tetapi kami melakukan yang terbaik bagi memastikan bukan sahaja keselamatan diperketatkan, malah pemantauan dipertingkatkan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar di Pusat Pentadbiran Sabah, di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd Shafie turut berharap AS boleh memberi maklumat berkenaan sebarang kemungkinan ancaman di kawasan itu dengan berkongsi maklumat risikan.

Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat menandakan “K” ke atas 34 negara yang dikenal pasti mempunyai risiko penculikan dan pengambilan tebusan oleh penjenayah serta pengganas, termasuk Malaysia.

Untuk Malaysia, timur Sabah ditandakan sebagai sebuah wilayah dengan peningkatan risiko penculikan.
-BERNAMA


Pengarang :