SELANGOR SUKANKINI

Shah Alam City rangkul Piala Dato’ Menteri Besar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pasukan bola tampar Shah Alam City muncul juara Kejohanan Bola Tampar Shah Alam Piala Dato’ Menteri Besar, pada pusingan akhir yang berlangsung di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, di sini hari ini.

Shah Alam City yang diwakili kapten Sim Jian Qin menewaskan pasukan Sanest Khao Hoa dari Vietnam dalam pertarungan dramatik dengan kutipan mata 16-25, 22-25, 32-30, 25-15, 15-8.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan pasukan kendalian Khoo Chong Long membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, piala iringan, piala pusingan berserta baucar World of Sports bernilai RM3,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan sambil disaksikan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Datuk Benny Hoe Tze Fook.

Khoo berkata, walaupun gagal menampilkan corak permainan baik pada dua set terawal, namun kekalahan itu tidak mematahkan semangat anak buahnya untuk terus berjuang sebaik masuk set ketiga, sekali gus mematikan langkah lawan pada set seterusnya.

“Sebelum perlawanan, pemain nampak gugup memandangkan kita memiliki ramai pemain muda selain gandingan tiga pemain import yang masih tidak serasi dengan pemain lama kita.

“Bagaimanapun, memasuki set ketiga, kita cuba membuat perubahan posisi dan menukar pemain sehingga meraih kemenangan.

“Saya gembira dengan kegigihan mereka yang tidak berputus asa mencari kemenangan selepas menemui rentak pada set ketiga itu,” katanya.

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi pasukan Garuda dari Jakarta, Indonesia manakala keempat dirangkul All Fame Volleyball Club.

Terdahulu, kejohanan yang mendapat penajaan bersama SHARP Malaysia dan Pure Fiit Apparel itu berlangsung sejak 17 April lalu membabitkan dua kategori iaitu Lelaki Terbuka termasuk Amatur Lelaki serta Wanita.

Sebanyak 62 pasukan dari dalam dan luar negara menyertai kejohaan terbabit antaranya Thailand, Indonesia, Vietnam, Taiwan serta Jepun.


Pengarang :