SUKANKINI

SHARP I Love Shah Alam Fun Run terima lebih 3,000 penyertaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 APR: SHARP I Love Shah Alam Fun Run mendapat sambutan hangat apabila lebih 3,600 peserta daripada pelbagai lapisan umur sudah mendaftar sejak pendaftaran dibuka pada 15 Mac lalu.

Larian anjuran Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (SEM) julung kali diadakan dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri itu bakal berlangsung pada 21 April ini bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, di Seksyen 27, di sini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjur menyasarkan penyertaan 3,000 peserta sahaja sebagai permulaan, bagaimanapun pendaftaran sudah mencecah hampir 4,000 peserta.

Katanya, acara larian seumpama itu menjadi salah satu ‘trend’ pada masa kini, selain menyumbang terhadap kepelbagaian program di Selangor, khususnya.

“Program ini menjadi wadah penting untuk memastikan penglibatan komuniti terhadap acara yang mampu mengeratkan hubungan silaturrahim baik dalam komuniti di kawasan perumahan mahupun komersil, khususnya di sekitar Sekysen 27 dan Shah Alam secara amnya.

“Malah, ia sudah tentu akan menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti yang menyeronokkan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar SHARP I Love Shah Alam Fun Run 2019, di Lobi Bangunan A Sharp Electronics Malaysia, Seksyen 27, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Urusan Sharp Electronics Malaysia, Ting Yang Chung dan barisan pengurusan serta kakitangan syarikat berkenaan.

Terdahulu, program yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat itu membabitkan larian sejauh 3 kilometer (KM) dan 6.5 KM bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak.

Uniknya, peserta yang mengambil bahagian dibenarkan memakai kostum menarik atau melucukan bagi mewarnai lagi acara pada hari berkenaan dan kostum paling mencuri tumpuan berpeluang memenangi voucer membeli belah.

Peserta turut dibekalkan t-shirt, medal, ‘running bib’, dan bag ‘goodies’ selepas menamatkan larian terbabit, selain berpeluang memenangi cabutan bertuah barangan Sharp sehingga RM50,000.

 


Pengarang :