SELANGOR

Siasatan lengkap flat retak dirumus 2 Mei

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 29 APR: Keputusan siasatan lengkap berhubung keretakan serius Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, di sini, dijangka akan dirumuskan selewat-lewatnya, pada 2 Mei ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu memandangkan kajian lebih terperinci akan diteruskan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bersama Perunding ZNA (ASIA) Sdn Bhd sehingga 1 Mei ini.

Katanya, juruperunding profesional dilantik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu juga akan mengemukakan pandangan mereka kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan selanjutnya selepas siasatan terbabit.

“Langkah yang diambil seperti  ‘resistivity test’ untuk melihat profil tanah sama ada daripada segi kedudukan tanah, kemampanan tanah di bawah bangunan terbabit dan juga bagi melihat pergerakan struktur bangunan.

“Bagaimanapun, selama tiga hari ini dilaporkan tidak ada pergerakan yang ketara sama ada tanah atau bangunan, tetapi pemantauan masih lagi berjalan kerana saya mahu keselamatan penduduk diberi keutamaan.

“Sekiranya siasatan mendapati struktur bangunan ini selamat untuk diduduki maka kita jangka sebelum Ramadan penduduk dan pemilik boleh kembali ke unit masing masing, namun jika dapatan itu sebaliknya, saya akan berbincang dengan Kerajaan Negeri dan PKNS apakah langkah yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas turun padang bagi meninjau situasi di blok bangunan berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha serta Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, bangunan yang dibina sejak 1985 itu masih memerlukan penambahbaikan, terutama di unit yang mengalami keretakan berdasarkan pandangan dan penelitian dijalankan Perunding ZNA serta IKRAM.

Katanya, tindakan itu memerlukan pemilik dan penduduk untuk tidak berada dalam bangunan berkenaan buat sementara waktu memandangkan kerja baik pulih akan mengambil masa yang agak lama.

“Saya sudah berbincang dengan PKNS jika bangunan ini boleh didiami dengan sedikit pemulihan dan pembaikan, maka PKNS bersedia untuk menanggung kos pembaikan unit berkenaan.

“Sementara itu penduduk terbabit akan dikenal pasti tempat penginapan yang baik. Kita juga sudah mengenal pasti dua lokasi berdekatan dengan tapak ini untuk ditawarkan kepada 37 keluarga terbabit tertakluk kepada perbincangan bersama keluarga berkenaan.

“Sewa juga akan dibiayai PKNS untuk tempoh kerja pembaikan kerana saya tidak mahu penduduk ini dibebankan dengan masalah kewangan kerana struktur bangunan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari Jumaat lalu, penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan terbabit sehingga memaksa seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

Semalam, mangsa yang berada di pusat pemindahan itu dipindahkan ke lokasi kedua di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 terdiri daripada 24 keluarga membabitkan 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :