GLOBAL

Singapura mahu bangunkan hab halal termaju di Asia

SINGAPURA 30 APR: Singapura akan memiliki hab halal yang berdedikasi dalam tempoh dua tahun lagi, ia bakal menjadi hab yang termaju di Asia Tenggara.

Hab tersebut terletak di kawasan barat Singapura, ia akan menempatkan unit pemprosesan makanan, dapur berpusat, bilik sejuk, Pusat Kecemerlangan Halal dan operasi logistik dalam sebuah kompleks bertingkat yang canggih.

Elite Partners Capital, Singapura berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan pemeteraian perkongsian startegik dengan Dewan Perdagangan dan Industri Melayu Singapura (SMCCI) bagi membangunkan hab halal seluas 600,000 kaki persegi dengan kos antara S$80 juta hingga S$ 100 juta.

“Singapura telah mencari peluang untuk membangunkan sebuah platform perniagaan halal bersepadu sejak beberapa tahun lepas. Cadangan hab halal ini adalah satu langkah yang tepat dan akan mempercepatkan serta memudahkan proses-proses perniagaan yang berkaitan dengan halal,” kata penasihat projek, Zainul Abidin Rasheed.

Zainul Abidin juga merupakan Duta Singapura ke Kuwait serta Utusan Khas Menteri Hal Ehwal Luar Negera ke Timur Tengah.

Perjanjian tersebut adalah tertakluk kepada Elite Partners dan keperluan SMCCI bagi memenuhi syarat daripada Jurong Town Corporation untuk membangunkan tapak itu.

Pembinaan hab itu akan mengambil masa kira-kira dua tahun.

SMCCI merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyokong kepentingan masyarakat perniagaan Melayu/Islam di Singapura.

Kerjasama itu akan memanfaatkan kedudukan SMCCI sebagai penghubung antara komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa bagi membolehkan syarikat Singapura untuk mengembangkan dan membolehkan operasi halal mereka mencapai tahap global.

“Kami amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bagi membangunkan Singapura sebagai hab halal global. Kami percaya bahawa hab itu akan menjadi peneraju inovasi dalam industri halal serta mampu menawarkan capaian yang besar daripada segi perolehan, pengeluaran, pengedaran dan pengembangan antarabangsa,” kata Presiden SMCCI Shamir Rahim.

Elite Partners akan bertanggungjawab ke atas pengkonsepan, pembiayaan serta pengurusan aset hab berkenaan, ia akan menawarkan kepada penyewanya, peluang-peluang pendigitalan, kerjasama dan inisiatif penjenamaan.

Hab itu akan memanfaatkan kelebihan pasukan pengurusan Elite Partners, yang mempunyai pengalaman selama berdekad-dekad dalam ekuiti swasta, pelaburan dan pengurusan aset.

“Hab tersebut akan melengkapkan industri halal disamping meningkatkan proses perniagaan menerusi integrasi perkhidmatan berkaitan halal dalam satu ekosistem,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Elite Partners, Victor Song.

Kedua-dua pihak berharap supaya hab itu akan memberikan perkhidmatan dalam pasaran “Blue Ocean” di rantau Asia Pasifik berikutan permintaan yang tinggi untuk makanan halal.

Dengan kerangka perundangan yang kukuh, kawalan kualiti termasuk logistik dan infrastruktur perkhidmatan, Singapura berupaya menjadi hab halal ASEAN.

Selain logistik dan sambungan kepada pasaran antarabangsa, penyewa juga akan mempunyai akses kepada perundangan, pentadbiran dan fungsi-fungsi berkaitan dengan teknologi maklumat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :