NASIONAL

Singapura tarik semula ILS, Malaysia gantung kawasan larangan

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Dalam semangat kerjasama bilateral, Singapura bersetuju menarik balik pelaksanaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar manakala Malaysia pula menggantung penguatkuasaan kawasan larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang.

Persetujuan itu digariskan dalam kenyataan bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan rakan sejawatannya dari Singapura Khaw Boon Wan hari ini.

“Persetujuan ini dilaksanakan oleh pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara semalam (5 April) pada 11.59 malam,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, dengan perjanjian tersebut juga kedua-dua menteri mengalu-alukan operasi penerbangan Firefly Sdn Bhd di Lapangan Terbang Seletar berkuat kuasa bulan ini.

Kedua-dua menteri juga berkata sebuah jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan bagi menyemak semula Surat Operasi Perjanjian di antara Pusat Kawalan Kawasan Kuala Lumpur dan Singapura berhubung Ketibaan, Pelepasan dan Lintas Udara Singapura 1974.

Menurut kenyataan itu, Loke dan Khaw yang mengalu-alukan langkah-langkah positif tersebut, berharap akan usaha-usaha seterusnya untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara.

Pertikaian berhubung ruang udara itu tercetus pada 23 Nov lepas apabila syarikat penerbangan Malaysia, Firefly berkata ia akan menggantung semua penerbangannya ke Singapura bermula 1 Dis, tarikh yang ia sepatutnya pindahkan operasi dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

Malaysia yang membantah tatacara pendaratan baharu ILS bagi Seletar mendakwa prosedur itu akan mengenakan had ketinggian dan menjejaskan pembangunan Pasir Gudang.

Pada 25 Dis, Malaysia menubuhkan RA kekal bagi tujuan aktiviti ketenteraan di ruang udara Pasir Gudang. Ini bermakna penerbangan dari mana-mana negara termasuk Malaysia perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Tentera Udara Diraja Malaysia untuk beroperasi dalam kawasan ketinggian antara 2,000 dan 5,000 kaki.

Malaysia membantah penggunaan ILS di Lapangan Terbang Seletar kerana pesawat yang dibimbing oleh sistem itu akan menceroboh ruang udara Malaysia. Lapangan terbang itu terletak hanya dua kilometer dari Pasir Gudang, Johor.

Persetujuan ini dicapai menjelang Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 yang dijadualkan pada Isnin dan Selasa ini. -BERNAMA

 


Pengarang :