SELANGOR

Sistem penilaian ketua kampung bermula 1 April

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SERI KEMBANGAN, 4 APRIL: Bermula 1 April lalu, Selangor mengambil inisiatif melaksanakan sistem penilaian khusus terhadap ketua kampung di seluruh negeri bagi menilai prestasi mereka.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, sistem ‘Star Rating’ akan diguna pakai untuk menjalankan penilaian dalam tempoh enam bulan sekali oleh pejabat daerah.

Katanya, ia juga bukan sahaja bertujuan menilai kecekapan ketua kampung, tetapi bagi melihat kelemahan yang wujud, sekali gus memperbaikinya.

“Sebelum ini penilaian hanya melihat kepada tiga kategori besar sahaja, iaitu penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), laporan minit mesyuarat dan laporan kewangan.

“Tetapi selepas ini, penilaian akan melihat kepada sepuluh segmen tambahan, antaranya penyediaan data kampung, pengurusan dan penganjuran program pembinaan serta ekonomi dalam mengatasi kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Negeri Selangor 2019, di Hotel Palace Of The Golden Horses, di sini.

Pada masa sama, Rodziah berkata, ketua kampung yang dinilai baik akan berpeluang disambungkan perkhidmatan, manakala yang rendah mungkin akan digugurkan.

“Kita belum putuskan berapa peratus dikategorikan sebagai baik, mungkin 70 peratus atau 80 peratus, tetapi mereka yang paling rendah kita akan lihat dan pertimbang untuk digugurkan,” katanya.


Pengarang :