BERITA UTAMASELANGOR

Skim Peduli Sihat disemak, hanya yang layak terima manfaat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Setelah dua tahun dilaksanakan, Kerajaan Negeri akan mengemaskini senarai penerima Skim Peduli Sihat (SPS) sedia ada bermula 1 Mei.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, proses itu dilaksana bagi memastikan manfaat Kad Peduli Sihat dirasai oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, pengemaskinian itu dibuat melalui maklumat yang terdapat di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sistem e-Kasih yang akan dilaksanakan oleh Selgate dalam tempoh sebulan.

“Keutamaan bagi penerima yang baru adalah kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

“Selain itu, dalam tempoh pengemaskinian, semua operasi rawatan di panel klinik akan diberhentikan bagi membantu melancarkan urusan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika sidang media selepas Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Lumu, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemegang Kad Peduli Sihat sedia ada yang belum mendaftarkan diri bagi BSH mahupun e-Kasih, dinasihatkan membuat pendaftaran bagi membolehkan manfaat Skim Peduli Sihat bagi 2019 terus dinikmati.

Sehingga kini, sebanyak 390,524 kad Peduli Sihat dikeluarkan bagi memberi manfaat rawatan asas kepada rakyat Selangor.


Pengarang :