NASIONAL

SKMM: 5G tidak beri kesan kesihatan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 15 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberitahu bahawa orang ramai tidak perlu bimbang mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyatakan teknologi 5G boleh menjejaskan kesihatan.

Anggota SKMM, Prof Dr Tharek Abd Rahman berkata, sehingga kini tiada sebarang keputusan penyelidikan konklusif membuktikan teknologi 5G boleh mengundang kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Prof Dr Tharek berkata, kajian dijalankan mendapati pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan ‘Internet Commission on Non-Ionizing Radiation Protection’ (ICNIRP).

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandukan 25,000 artikel penyelidikan yang diterbitkan sepanjang 30 tahun merumuskan, bukti-bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan kepada EMF berskala rendah.

“Tanggapan orang awam bahawa masalah sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan disebabkan oleh pendedahan EMF berskala rendah adalah tidak tepat. Bukti santifik tidak menunjukkan apa-apa kaitan dengan simptom terbabit,” katanya menerusi kenyataan SKMM, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, EMF tergolong di bawah kategori ‘non-ionizing radiation’, iaitu gelombang yang kuantumnya tidak cukup untuk memecahkan atau menggangu struktur molekul berbanding ‘ionizing radiation’.

Professor dalam bidang komunikasi tanpa wayar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, pendedah terhadap ‘non-ionizing radiation’ hanya menyebabkan kesan pemanasan, namun tidak cukup mengakibatkan kerosakan jangka panjang kepada tisu badan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa supaya kempen pendidikan atau kesedaran dapat dipertingkatkan bagi memberi penerangan lebih jelas kepada orang awam mengenai teknologi 5G.

“Yang jelas, teknologi 5G memberi banyak manfaat kepada pelbagai aspek kehidupan manusia seperti bidang kesihatan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai EMF yang dibangunkan oleh SKMM dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), orang ramai boleh layari rfemf.mcmc.gov.my.

 


Pengarang :