NASIONAL

SKMM: Hina Nabi, dua individu disoal siasat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 30 APR: Dua individu disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berikutan menghina Nabi Muhammad SAW, isteri baginda, Aisyah RA dan kesucian agama Islam menggunakan Facebook peribadi mereka.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Dato’ Mohd Shafie Harun berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima daripada orang ramai supaya tindakan segera diambil.

Katanya, kedua-dua individu terbabit dirakamkan soal siasat mereka dalam satu serbuan serentak yang dikendalikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Semporna, Sabah dan Kajang, Selangor.

Kesalahan yang dilakukan kedua suspek menjurus kepada perbuat memuat naik kandungan bersifat jelik dan menghina dengan niat mengganggu serta menyakitkan hati orang lain, katanya.

“Dalam kes pertama membabitkan pengguna akaun Facebook bernama ‘Auni Zaara’, suspek memuat naik mesej menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda.

“Manakala, kes kedua membabitkan pengguna akaun Facebook ‘Fadhillah Abdulhamid’, suspek memuat naik kandungan bersifat jelik terhadap Islam dan Nabi Muhammad dengan kata-kata yang cukup menghina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial bagi menyebarkan hantaran berbaur penghinaan yang boleh mengundang kemarahan orang awam.

Difahamkan, dalam serbuan terbabit, dua buah telefon bimbit, tiga kad SIM dan satu kad memori dirampas bagi siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.


Pengarang :