Selangorkini
cof
BERITA UTAMA PBT PELANCONGAN SELANGOR

Sky Mirror: Pengunjung disaran semak lesen pengendali bot

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 15 APR: Orang ramai yang ingin mengunjungi Sky Mirror dinasihatkan supaya membuat rujukan terlebih dahulu dengan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan juga Tourism Selangor.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, ia berikutan timbulnya isu lambakan pengendali bot tanpa lesen ke lokasi pelancongan berkenaan.

Katanya, isu keselamatan pelancong yang dibawa ke Sky Mirror Kuala Selangor dipandang serius dan disebabkan itu beberapa tindakan sewajarnya telah diambil.

“MDKS ingin menegaskan supaya kesemua operator yang menjalankan aktiviti pelancongan agar mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Justeru MDKS mengambil tindakan keselamatan bersama jabatan dan agensi yang berkaitan bagi menangani kes ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung lokasi pelancongan Sky Mirror di Kuala Selangor tidak mempunyai aspek keselamatan seperti yang ditimbulkan Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli ketia sidang Dewan Negeri Selangor.

Dalam sidang berkenaan, beliau menyatakan kebimbangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan menerima nama buruk sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan pelancong.

Ia berikutan lokasi pelancongan itu menerima pelancong paling ramai dari Negara China.

Mengulas lanjut, Rahilah berkata, oleh sebab itu, inisiatif MDKS bersama Kerajaan Negeri, Tourism Selangor dan agensi berkaitan ialah melaksanakan mesyuarat dan bengkel sejak tahun lalu.

Katanya, ia bagi mencari penyelesaian isu jeti dan operator yang tidak berlesen membawa penumpang ke Sky Mirror.

“Hasil daripada pelaksanaan bengkel terbabit, beberapa tindakan telah dilaksanakan seperti menjalankan pemantauan dan mengeluarkan notis kepada pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat,” katanya.

Sky Mirror telahpun menjadi lokasi wajib pelancong ketika berkunjung ke Kuala Selangor sejak beberapa tahun yang lalu.

Lokasi itu turut menerima jolokan Salar De Uyani Malaysia kerana seakan sama dengan Salar De Uyani di Bolivia iaitu hamparan tebing pasir pantai seakan cermin.


Pengarang :