Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
NASIONAL

SMART bakal jadi mentor pasukan penyelamat Brunei

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 10 APRIL: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan menjadi mentor kepada pasukan penyelamat Brunei yang berhasrat mengikut jejak langkah Malaysia mendapat pengiktirafan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengiktirafan INSARAG membolehkan pasukan mencari dan menyelamat sesebuah negara itu mengetuai misi menyelamat di luar negara.

“Pasukan SMART Malaysia mendapat pengiktirafan INSARAG, pada 2016 dan Malaysia kini masih dalam rundingan untuk pembentukan memorandum persefahaman (MoU) dengan Brunei yang sudah dibincangkan semasa lawatan saya ke negara itu, pada 27 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lawatan ke Markas SMART, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, SMART banyak membantu pelbagai negara dan turut terbabit dalam forum antarabangsa, sejak 22 tahun lalu.

“SMART membantu di Indonesia, Turki, India, Pakistan, Filipina, Ukraine, dan Nepal untuk pelbagai operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan, malah terbabit dalam pelbagai forum antarabangsa di lebih 10 buah negara,” katanya.

SMART ditubuhkan 25 tahun lalu ekoran ketiadaan kepakaran dan pasukan penyelamat khas ketika berlakunya tragedi runtuhan Highland Tower, pada 1993.

Atas dasar itu, pada 1994 jemaah menteri mengarahkan pasukan elit terbabit ditubuhkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat khususnya membabitkan kawasan kompleks seperti runtuhan bangunan, kawasan sempit serta tanah tinggi.


Pengarang :