SELANGOR

Smart Parenting penting kepada pembangunan keluarga, negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 APR: Komitmen kepada perolehan ilmu keibubapaan amat penting demi pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, hal itu kerana peranan ibu bapa kepada anak-anak perlu bermula di dalam rumah kita sendiri.

Katanya, menerusi didikan yang baik dari ibu bapa membolehkan mereka membesar menjadi sebahagian masyarakat yang berwibawa.

“Sebagai seorang ibu kepada enam orang anak, adalah menjadi keutamaan bagi saya untuk mengutamakan perkembangan buat anak-anak dan melihat mereka membesar dengan baik.

“Bermula sejak mereka lahir, anak-anak sudah mula belajar dan setiap pembelajaran itu adalah masa kritikal kepada perkembangan mereka buat jangka masa panjang.

“Begitu juga harapan saya untuk melihat anak lain di Selangor ini mendapat didikan mencukupi dan perhatian yang sewajarnya agar mereka dapat membesar dengan celik dan cerdas. Perkara seperti ini amatlah penting untuk digarap setiap ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Program Smart Parenting Siri 1 2019 di Black Box, SACC Mall, di sini, hari ini.

Masdiana berkata, kesedaran mengenai tanggungjawab seperti keperluan ilmu keibubapaan semakin mendapat perhatian.

“Oleh itu ia adalah perkembangan yang menggalakkan dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Program Intervensi Awal Kanak-Kanak (EIP) merupakan usaha untuk memacu pendidikan kanak-kanak daripada seawal usia bayi lagi.

Beliau berharap, melalui EIP itu, akan dapat mewujudkan kesedaran di kalangan ibu bapa, ahli keluarga dan komuniti mengenai kelewatan perkembangan kanak-kanak.

Katanya, ia turut memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah membawa anak-anak menjalani ujian saringan dan seterusnya mengenal pasti perkembangan mereka dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar.

“Kita amat bertuah kerana terdapat pihak seperti Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Persatuan Taska Negeri Selangor, Headstart Academy dan sebagainya yang semakin giat menggerakkan usaha ini.

“Walaupun secara amnya dilihatkan kecil, namun setiap usaha menghasilkan banyak perubahan untuk kehidupan sesetengah pihak,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :