BERITA UTAMASELANGOR

SMG mula beri impak positif, tarik minat pelbagai syarikat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 APR: Selangor Maritime Gateway (SMG) mula memberikan impak positif apabila beberapa syarikat dari dalam dan luar negara menyatakan minat untuk bersama-sama mengembalikan kelestarian Sungai Klang, kata Raja Shahreen Raja Othman.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) itu berkata, pengalaman menyelusuri dua bahagian Sungai Klang sepanjang 112kilometer (KM) membangkitkan lagi semangatnya untuk kembali menobatkan semula Klang yang terkenal sebagai ‘Bandar Diraja’.

Katanya, kecantikan sungai di Beijing, China dan Singapura yang dahulunya pernah dipulihkan akan dijadikan modul SMG dengan menggunakan teknologi bersesuaian kerana sejumlah 50,000 tan sampah sudah dikeluarkan sehingga kini.

“Dalam masa sama, kita sudah keluarkan ‘Expression of Interest’ (EOI) dan banyak syarikat berminat…kerja pembersihan, pemulihan, pembanguanan dan pembiayaan, keseluruhan pakej kita ditawarkan. Tidak semestinya satu syarikat akan mendapat keseluruhan (56KM) kawasan.

“Kita boleh bahagikan untuk beberapa kawasan. Projek ekonomi besar akan berlangsung 20 hingga 30 tahun. Pulau Carey sahaja seluas 1,200 ekar. Belum lagi tanah-tanah sepanjang Sungai Klang atau tanah baharu akan diwujudkan,” katanya dalam wawancara khas bersama media di bangunan MBI, 15 April lalu.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan pemuliharaan Sungai Klang menerusi projek SMG yang dijangkakan menyemarakkan ekonomi negeri untuk jangka masa panjang serta melantik anak syarikat milik penuh MBI, iaitu Landasan Lumayan Sdn Bhd sebagai pelaksana projek.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut memberitahu Kerajaan Negeri bertekad melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi di bandar sepanjang Sungai Klang dan menjadikan kawasan itu sebagai ‘Smart Central Economic Region’.

Beliau berkata, tiga gerak kerja utama; pembersihan, pemulihan dan pembangunan akan bergerak seiring termasuk proses pertindihan status tanah supaya fasa kedua pada 2022 dapat dimulakan dengan lancar.

Proses ini termasuk memulihkan semula tapak pelupusan sampah lebih 100 ekar di Bandar Sultan Sulaiman yang kembali digunakan secara haram pihak tidak bertanggungjawab walaupun ia sudah ditutup sebelum ini.

“Kita sudah sita tempat itu dan kita sedang tengok semula bagaimana untuk bersihkan semula tapak pelupusan sampah. Teknologi (bersesuaian) memang ada, dan kita sudah mengenal pasti teknologi untuk diketengahkan.

“Bagi saya tempat ini bahaya dan kita kena berusaha membersihkannya semula. Kita boleh lihat air busuk dan hitam masih meleleh masuk ke sungai. Tapak pelupusan ini mengandungi gas metana dan boleh meletup bila-bila masa,” katanya.

Raja Shahreen berkata, dalam usaha membangunkan semula Sungai Klang, ekosistem kawasan paya bakau seluas 71 ekar yang menjadi habitat pelbagai spesis hidupan juga akan dikekalkan.

Katanya, buat masa ini terlalu awal untuk memikirkan konsep pembangunan yang akan dilakukan di masa hadapan tetapi segalanya bergantung kepada potensi tanah sedia ada.

“Proses pembersihan berterusan selagi Sungai Klang hidup. Kita mahu rumah yang dibangunkan, penduduk bangga rumah mereka mengadap sungai, bukan dengan bau busuk.

“Kita sedang memikirkan bagaimana untuk menggunakan semula air sungai walaupun bukan untuk minum tetapi aktiviti lain yang sesuai,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :