SELANGOR

Sokongan MPSJ buat anak autisme dihargai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 2 APR: Usaha Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membantu golongan autisme dihargai kakitangannya yang mempunyai anak istimewa berkenaan.

Sharipah Norhaslinda Syed Abdullah, 42 yang juga kakitangan Bahagian Landskap MBPJ berkata, beliau berasa lega apabila anaknya yang berusia 10 tahun itu dijaga dengan baik ketika berada di taska milik MBPJ.

“Sebagai ibu yang bekerja, saya berasa selamat apabila MBPJ selaku majikan tidak mengenepikan anak saya yang bergelar austisme, malah taska berkenaan mempunyai penjaga yang terlatih bagi menjaga kanak-kanak sedemikian.

“Saya beruntung kerana tidak perlu menghantar anak ke taska luar, dengan pelbagai kes yang berlaku pada masa kini, ia membuatkan saya bimbang.

“Disebabkan itu saya boleh fokus kepada kerja dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau ditemui ketika Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia anjuran MPSJ, di sini, petang tadi.

Hadir sama Yang Dipertuanya, Noraini Roslan dan Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkurnain Che Ali.

Sementara itu, bagi Kakitangan Bahagian Jabatan Kontrak dan Ukur Bahan, Norhidayah Tohid, 40 bersyukur kerana masyarakat sudah semakin memahami keadaan anak autisme.

Katanya, ibu-bapa juga semakin terbuka sekali gus membolehkan anak-anak istimewa itu dihantar ke sekolah dan menerima pelbagai rawatan.

“Kini anak saya, Ishraq Irfan Adam Mohd Nabal, 13 juga sudah bersekolah dan lebih menyeronokkan saya apabila saya boleh berbincang dengan ibu-bapa lain serta guru mengenai perkembangan anak autisme ini,” katanya.

Sementara itu Noor Sabrina Samsudin, 37 yang mempunyai anak autisme berusia 11 tahun turut meminta masyarakat memahami karakter anak austisme yang unik.

Beliau yang juga Kakitangan Bahagian Komunikasi Korporat MPSJ berkata, anak istimewa anugerah ALLAH SWT itu sepatutnya dijaga dengan baik.

“Sekarang saya lihat masyarakat semakin prihatin dengan anak-anak ini, walaupun memerlukan kesabaran yang tinggi dalam membesarkan mereka, namun anggaplah ia sumber pahala yang berterusan.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kesedaran Autisme Sedunia buat semua,” katanya.


Pengarang :