BERITA UTAMANASIONAL

SPRM tahan Rosmah, didakwa di mahkamah esok

PUTRAJAYA, 9 APR: Datin Seri Rosmah Mansor akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Ini merupakan kali kedua isteri  bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa berkaitan kes yang sama.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya telah mendapat izin mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara bagi membuat pertuduhan terhadap Rosmah.

Rosmah bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 16(A)(a) Akta SPRM 2009, katanya.

Terdahulu, Rosmah yang menaiki kereta Proton Perdana hitam dilihat memasuki bangunan ibu pejabat SPRM di sini pada 1.45 tengah hari sebelum keluar kira-kira dua jam selepas itu.

Menurut kenyataan SPRM, suruhanjaya itu menahan Rosmah pada 1.45 tengah hari selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir kes solar dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pada November tahun lepas, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :