PELANCONGANSELANGOR

Squad Kembara Sekolah bantu promosi pelancongan Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Tourism Selangor meneruskan usaha mempergiat kaedah promosi pelancongan domestik melalui Program Squad Kembara Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Batu Caves, di sini, Rabu lalu.

Siri jelajah kali kedua selepas penganjuran sama sejak 2009 itu mendapat kerjasama dan perkongsian pintar Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Perbadanan Adat Melayu Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang memberikan pengisian berbentuk aktiviti kesenian kebudayaan bagi mempromosikan aktiviti kebudayaan Kerajaan Negeri.

Pengurus Promosi dan Pembangunan Industrinya, Khuzaimah Jamaluddin berkata, program kesedaran pelancongan itu turut menerima penyertaan beberapa produk pelancongan utama negeri antaranya Sunway Lagoon, Kidzania Kuala Lumpur, Farm in The City, Palace of the Golden Horses, Bangi Wonderland dan Jumpstreet yang menyediakan hadiah serta aktiviti interaktif secara ilmiah kepada pelajar.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan khususnya memfokuskan kepada taklimat pelancongan lebih menjurus untuk menggalakkan pelajar mengenal produk pelancongan berdekatan dengan tempat tinggal mereka yang ada di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Khuzaimah berkata, usaha berkenaan adalah salah satu langkah proaktif pihaknya dengan menggunakan medium pelancongan pendidikan bertujuan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong domestik ke Selangor.

“Tahun ini kita menyasarkan jumlah kedatangan pelancong domestik sebanyak empat juta dan kita mengharapkan pelajar dapat mewar-warkan informasi ini seterusnya mengajak keluarga serta ibu bapa mereka untuk melancong ke tempat menarik yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

“Program jelajah ke sekolah ini dijangka akan diteruskan pada setiap tahun dan kita merancang untuk menganjurkan ke sekolah swasta serta sekolah antarabangsa selain bekerjasama erat bersama sekolah yang mempunyai persatuan atau kelab pelancongan,” katanya.


Pengarang :