NASIONAL

SRC International: Mahkamah Persekutuan tolak tiga rayuan Najib

PUTRAJAYA, 10 APRIL: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal dalam percubaannya untuk mendapatkan perintah sekatan bagi menghalang media dan orang ramai daripada membincangkan merit kesnya serta mendapatkan dokumen tambahan untuk menyediakan pembelaannya.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu juga gagal dalam rayuannya berhubung prosedur yang diambil oleh Peguam Negara untuk memindahkan kes beliau dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak ketiga-tiga rayuan itu.

Sementara itu, mahkamah turut menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintah pendakwaan supaya mengemukakan surat pelantikan pendakwa ad hoc Sulaiman Abdullah kepada pihak pembelaan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah berhubung rayuan Najib bagi mendapatkan dokumen tambahan, Hakim Tan Sri Idrus Harun, seorang daripada anggota panel hakim itu, berkata Parlimen telah meluluskan Seksyen 51 Kanun Tata Cara Jenayah (CPC) untuk mengawal apakah dokumen yang perlu dibekalkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan dan perkara ini telah pun dipatuhi oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata Najib tidak berhak untuk mendapatkan sebarang dokumen tambahan lagi pada peringkat ini, dan menambah, jika permohonan (Najib) itu dibenarkan, ia akan sama seperti menyerahkan keseluruhan kertas siasatan kepada beliau.

Hakim lain dalam panel berkenaan ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat serta Datuk Nallini Pathmanathan.

Mahkamah Rayuan pada Mac tahun ini turut menolak tiga rayuan Najib.

Najib, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan kes beliau bermula pada 3 April dan pendakwaan telah memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan pada hari berkenaan. Perbicaraan akan bersambung dari 15 April hingga 10 Mei.
-BERNAMA


Pengarang :