NASIONAL

SRC: Peguam sahkan tokoh korporat terima cek RM2.5 juta

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Seorang peguam dari Firma Guaman Tetuan Zulkarnain & Co memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang tokoh korporat, Datuk Habibul Rahman Kadir Shah pernah menerima cek berjumlah RM2.5 juta pada 2015.

Ashraf Abdul Razak, 48, yang merupakan peguam peribadi Habibul Rahman sejak 1996, berkata dia diberitahu oleh tokoh korporat itu bahawa cek berkenaan yang bertarikh 2 Feb 2015 adalah bayaran berkaitan dengan rundingan bekalan kontrak pertahanan dan dia diminta menguruskan cek tersebut.

Habibul Rahman dikatakan pernah menjadi penasihat media kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan Ke-18 itu berkata setelah cek tersebut didepositkannya, Habibul Rahman telah mengarahkannya mengeluarkan cek kepada isteri, anak-anaknya dan beberapa individu lain yang ditentukan tokoh korporat itu.

“Beliau (Habibul Rahman) berjumpa dengan saya dan memaklumkan bahawa beliau akan menerima pembayaran untuk khidmat rundingan bagi satu perkhidmatan bekalan ‘defence contract’.

“Beliau memaklumkan pecahan pembayaran beliau akan telitikan kepada saya kelak. Pada masa saya dipanggil untuk mengambil cek ini ada disediakan sepucuk nota kecil sebagai pengakuan antara beliau dan saya mengenai cek ini yang ditandatangani oleh beliau,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan hari kelapan kes dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Ashraf berkata ketika itu juga Habibul Rahman sedang menjalankan urusan bagi mendapatkan sebuah tender bagi Syarikat Fuelsubs House Sdn Bhd (FSH), untuk mengurus subsidi minyak petrol dan Habibul Rahman adalah pengarah urusan syarikat tersebut.

Kepada soalan Muhammad Saifuddin adakah Habibul Rahman memberitahu daripada siapakah pembayaran itu diterima, saksi itu berkata, “tidak”.

Mengulas lanjut Ashraf berkata setelah beliau menerima cek itu yang diambil dari Habibul Rahman sendiri di kediaman tokoh korporat itu, beliau telah mendepositkannya ke dalam akaun semasa Bank CIMB atas nama firma guaman itu.

“Setelah (cek) dimasukkan, selanjutnya beliau mengeluarkan arahan kepada saya untuk mengeluarkan cek-cek kepada antara lain isteri beliau dan anak-anak beliau secara berkala. Selepas itu beliau mengarahkan saya untuk mengeluarkan cek-cek lain kepada pihak-pihak yang beliau tentukan,” katanya.

Ketika ditanya adakah Ashraf tahu kenapa Habibul Rahman memilih untuk menyerahkan cek itu kepadanya dan bukan Habibul Rahman sendiri yang mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun, saksi itu berkata dia tidak tahu.

Menjawab soalan adakah saksi itu menguruskan kesemua wang RM2.5 juta itu sehingga ianya habis, beliau berkata, “Ya, semua pembayaran berjumlah RM2.5 juta itu sudah dilunaskan termasuk yuran guaman berjumlah RM50,000.”

Ashraf juga berulang kali menyatakan beliau tidak tahu sumber wang itu dan tidak pernah bertanyakan Habibul Rahman mengenainya kerana lelaki itu seorang tokoh korporat yang disegani.

“Saya telah lama mengenali beliau, pada pandangan saya, disebabkan kedudukan beliau sebagai toloh korporat agak disegani, beliau merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat GLC, jadi saya tidak terfikir untuk bertanyakan,” katanya.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bahawa adakah kemungkinan Ashraf terlupa apa yang diberitahu Habibul Rahman berkenaan cek tersebut sama ada ia untuk kontrak pertahanan atau perkara lain, saksi itu berkata, “Tidak, saya jelas beliau berkata kepada saya ia dari ‘defence contract’.

Saksi ke-19, Timbalan Pengurus Besar Jabatan Operasi Penjelasan Cek Bank Cimb, Edward anak lelaki Innasi Born, 58, mengesahkan cek berjumlah RM2.5 juta telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Firma Guaman Tetuan Zulkarnain & Co bertarikh 2 Feb 2015.

Saksi itu yang telah berkhidmat sebagai timbalan pengurus besar di jabatan itu sejak 2004 turut mengecamkan salinan cek tersebut yang ditunjukkan pihak pendakwaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pull 2.30 petang.

-BERNAMA

 


Pengarang :