NASIONAL

Statut Rome: Kabinet buat keputusan ikut prosedur

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, jemaah menteri membuat keputusan mengikut prosedur betul dalam proses meratifikasi Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau berkata, jemaah menteri juga membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam menandatangani perjanjian antarabangsa.

“Oleh itu, dari segi proses membuat keputusan, jemaah menteri membuat keputusan mengikut prosedur yang betul dan proses meratifikasi Statut Rome tidak perlu dibuat melalui Parlimen,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Saifuddin berkata, sejak dahulu lagi, terdapat lebih seratus triti dan konvensyen antarabangsa yang diratifikasi tanpa melalui proses Parlimen.

“Malangnya, ada pihak yang sengaja menyalah tafsir Statut Rome, termasuk soal merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dengan memberikan nasihat atau pendapat yang tidak tepat dan mengetepikan fakta dan hujah rasional,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rome ekoran kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut itu membahayakan negara.

Saifuddin, yang menyokong penuh pendirian Dr Mahathir dalam perkara itu, menegaskan pentadbiran Pakatan Harapan akan terus berpegang teguh kepada prinsip Raja Berpelembagaan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. -BERNAMA


Pengarang :