NASIONAL

Streram dermawan, peka isu penduduk – Rakan

SEREMBAN, 2 APR: Bukan sahaja dikenali dengan kepakarannya dalam bidang anestesiologi, calon Pakatan Harapan (Pakatan) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram sebenarnya seorang yang dermawan dan sangat peka terhadap masalah penduduk setempat.

Perkara itu diakui oleh rakan dan kenalan Dr Streram sendiri yang menetap di Rantau, di mana mereka menyifatkan Dr Streram sebagai seorang individu yang sering mendahulukan kepentingan rakyat berbanding keperluan dirinya sendiri walaupun tidak memegang jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

U Karunesh, 36, yang mengenali Dr Streram sejak lima tahun lalu berkata Dr Streram, sebagai seorang individu yang berpendidikan tinggi, merupakan seorang penyelesai masalah yang sering dicari oleh penduduk bukan sahaja dari DUN berkenaan tapi juga dari kawasan-kawasan lain.

“Budak-budak sekolah perlukan bantuan, tiada kasut, tiada buku, nak bayar yuran, dia akan bantu guna duit dia sendiri, bukan duit kerajaan, penduduk sini minta hentian bas dan dia sanggup menggunakan duitnya sendiri untuk tujuan itu,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Pasir Airport, Rantau dekat sini.

Sementara itu, Shabaruddin Ali, 42, yang kini bekerja sebagai pembantu khas beliau pula berkata Dr Streram merupakan seorang yang sangat pemurah dan sentiasa membantu mereka yang dalam kesusahan tanpa mengira kaum dan agama.

“Sewaktu beliau jadi penyelaras Pakatan DUN Rantau, ramai orang datang kat pejabat minta bantuan bayar bil elektrik bil air…sampai nak kena potong pun ada, pernah waktu saya bersama dia ketika itu dia baru keluarkan duit sebanyak RM5,000 tapi dalam sehari itu ramai sangat minta bantuan dia sehinggalah duitnya hanya tinggal RM500,” katanya.

Bukan itu sahaja, Dr Streram juga, kata Shabaruddin, sangat komited terhadap kerjanya tanpa mengira masa dan sentiasa turun padang dengan segera apabila berlaku sesuatu bencana di daerah itu.

“Kalau ada ribut atau banjir tengah malam dia sanggup datang turun padang untuk lihat keadaan mangsa, kalau dia tak sempat dia akan telefon saya tak kira waktu arahkan saya untuk turun pergi tengok situasi,” katanya.

Bagi M Jagatheswaran, 44, yang mengenali Dr Streram melalui penglibatannya dalam bidang politik berkata Dr Streram seorang yang berwawasan dan sentiasa bercita-cita mahu agar tiada satu pun penduduk di Rantau yang hidup dalam paras kemiskinan.

Malah katanya Dr Streram juga sering bergaul dengan penduduk pelbagai kaum melalui penganjuran pelbagai program seperti gotong royong membersihkan tanah perkuburan Islam dan kempen derma darah bagi membantu klinik atau hospital yang kekurangan bekalan darah.

Rakan sekerja Dr Streram yang merupakan Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak dan Penyakit Berdengkur di Pusat Perubatan Nilai, Dr Raymond Tan Suan Kuo pula berkata Dr Streram merupakan antara pakar bius yang sangat berpengalaman dan handal sehingga beliau boleh memasukkan tiub intubasi melalui kerongkong pesakit dengan begitu mudah dan cepat.

“Selalunya sebelum pesakit saya yang mengalami masalah berdengkur akan menjalani pembedahan, beliau akan memasukkan satu tiub intubasi (tiub penghantaran udara) melalui kerongkong/salur pernafasan dan ia bukanlah satu tugas yang mudah.

“Tapi Dr Streram boleh melakukannya dengan begitu teliti dan cermat,” katanya ketika dihubungi .

Beliau berkata, Dr Streram merupakan seorang yang sangat disenangi oleh rakan-rakan sekerja kerana sikapnya yang suka membantu dan berkongsi ilmu.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah.

— BERNAMA

 


Pengarang :