SEREMBAN, 5 April — Calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram berucap ketika berkempen di Kuala Sawah hari ini.?Pengundi Rantau akan menjalani proses mengundi sekali lagi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau pada 13 April ini dan menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon PH Dr S Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan Malar Rajaram (Bebas).?– fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
NASIONAL

Streram kesal ada pihak naikkan kain rentang provokasi

SEREMBAN, 6 APRIL: Calon Pakatan Harapan, Dr S.Streram meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menaikkan kain rentang dengan ayat yang disifatkannya berbentuk provokasi.

Katanya, ayat seperti ‘Ganyang Samo Dio’ yang secara harfiahnya bermakna ‘Hancurkan (belasah) dia’ boleh disalah erti pihak lain untuk benar-benar berbuat demikian terhadapnya.

“Hari-hari saya dapat provokasi, tetapi kita tidak akan membalasnya dengan provokasi… yang penting kita fokus sebab saya nak rakyat Rantau bagi saya peluang.

“Mungkin provokasi ini nak alih perhatian saya tetapi saya tetap akan fokus,” katanya kepada Bernama ketika berkempen di Rumah Rakyat Nyatoh, di sini hari ini.

Dr Streram berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kain rentang tersebut yang didapati dinaikkan di beberapa lokasi di sekitar pekan Rantau dan Kampung Pasir.

Sementara itu, beliau yang bersimpati dengan nasib pembeli rumah PR1MA Rantau yang sehingga kini belum siap, berkata akan bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bagi mencari penyelesaian.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau yang akan berlangsung pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO dan dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. -BERNAMA


Pengarang :